Ahad, 29 Mei 2011

Yang Terindah

Karya    : ?
Sumber : ?
  
Yang Terindah – Dakmie (OST Adamaya)

Semenjak kau hadir dalam hidupku

Tiada lagi keresahan
Kau mengetuk pintu hatiku
Tanpa sedar hingga ku izinkan

Kau yang bernama cinta

Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah

Maaf jika ku tidak sempurna

Tika bahagia mula menjelma
Bila keyakinan datang merasa
Kasih disalut dengan kejujuran

Mencintai dirimu

Merindui dirimu
Memiliki dirimu
Hingga akhir hayat bersama kamu

Kau yang bernama cinta

Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku terasa indah

Kau yang bernama cinta

Hingga aku rasa indah




Senja kian merebut malam. Burung-burung yang tadinya berkicauan riang di udara sudah menghentikan nyanyian. Angin dingin senja memberus lembut pipi Lisa Damia. Lisa Damia menghela nafas panjang. Semenjak dari tadi gadis berusia 17 tahun itu berdiri di tepi jendela. Suara kanak-kanak yang bermain riang di luar rumah sudah berkurangan. Masing-masing sudah dipanggil pulang oleh ibu bapa mereka. Sebentar lagi azan Maghrib akan berkumandang. Lisa Damia merebahkan diri ke atas tilam. Pandangannya tertumpu pada bingkai gambar yang berada di atas sebuah meja kecil di sudut ruangan kamar itu. Foto tersebut ditangkap pada hari perkahwinan ayah dan arwah ibunya yang sengaja diletakkan di situ memandangkan tidak banyak foto arwah ibunya yang lain. Lisa Damia mencapai bingkai gambar tersebut. Wajah arwah ibu mirip sekali dengannya. Baju ayah dan arwah ibunya sedondon iaitu warna hijau muda.

Lisa Damia mengetap bibir. Perit sekali rasanya kehilangan seorang insan yang bergelar ibu. Tanpa disedari matanya mula berkaca-kaca. Ibunya meninggal dunia sejurus selepas dia dilahirkan. Titisan air jernih tidak berhenti mengalir dari kelopak matanya. Perlahan-lahan matanya tertutup. Lisa Damia sudah terlelap.

Encik Adam yang sedari tadi memerhatikan anak perempuannya itu menghampiri. Waktu terasa begitu singkat. Lisa Damia sudah membesar menjadi seorang gadis anggun persis arwah ibunya. Encik Adam duduk di samping anaknya. Lisa Damia yang sudah lena dibuai mimpi itu diselimutkan. Andai sahaja arwah isterinya berada di situ sudah pastilah dia turut tersenyum bersamanya. Encik Adam mengukir sekuntum senyuman bahagia di wajahnya.

“Hari ini papa hendak bawa abang dan Lisa pergi membeli-belah. Nak?” Encik Adam bersuara sejurus selepas masuk ke ruang tamu. Lisa Damia membesarkan matanya tidak percaya. Senyuman sudah terkoyak di bibir. Lisa Damia segera berlari dan memeluk ayahnya itu.

“Terima kasih, papa. Sayang papa!” ujar Lisa Damia teruja. Senyuman masih terukir jelas. Lelaki yang bernama Danial atau lebih senang dipanggil Dani itu sedang leka menonton televisyen dan kelihatannya langsung tidak berminat.

“Papa, inikan hal budak perempuan, abang mana suka beli-belah,” terangnya sambil memerhatikan Encik Adam. Wajahnya dikelatkan. Encik Adam akhirnya berjaya memujuk anak sulungnya itu setelah beberapa kali mencuba. Lelaki itu memang seorang yang mudah dipujuk dan tidak terlalu manja.

Enjin kereta dihidupkan. Dani menawarkan diri untuk memandu tetapi dihalang ayahnya. Encik Adam sengaja hendak menggembirakan kedua-dua anaknya itu hari ini. Lisa Damia sudah bersiap sedia di tempat duduk belakang. Hatinya sudah tidak sabar untuk membeli pakaian dan alat solek yang kebetulan sudah habis di rumah. Perjalanan ke Midvalley mengambil masa hampir dua jam. Lisa Damia yang lebih banyak berbicara sepanjang perjalanan berbanding abangnya.

Suasana di Midvalley itu agak sesak kerana banyak pengunjung. Wajah ayu Lisa Damia semakin berseri-seri sejurus sahaja keluar dari kereta. Lisa Damia sudah tidak sabar lagi hendak masuk ke dalam. Dani mencuit bahu adiknya itu. Lisa Damia memuncungkan bibir.

“Kalau ya pun tidak sabar, janganlah tergedik-gedik pula di sini,buat malu sahaja,” ujar Dani menyakat. Encik Adam menyuruh anak-anaknya masuk ke dalam. Lisa Damia pantas berlari membuatkan Encik Adam tertawa. Ya Allah, Kau berikanlah kebahagiaan pada anakku ini bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga!

Setelah satu jam membeli belah di situ, Lisa Damia mengajak ayah dan abangnya untuk membeli ais krim. Encik Adam cuma tersenyum manakala Dani mengelatkan wajahnya. Beberapa bungkusan beg plastik sedang berada di tangannya. Lisa Damia membeli banyak sekali barang pada hari itu. Mereka kemudiannya menuju ke gerai ais krim berdekatan. Encik Adam membeli tiga ais krim untuk dirinya, Lisa Damia serta Dani. Tiba-tiba Lisa Damia memegang lengan ayahnya.

“Papa, lihat orang itu, dari tadi tidak berhenti perhatikan Lisa,” ujarnya sambil menunjuk ke arah seorang pemuda dari kejauhan. Encik Adam memandang pemuda itu lantas mengalihkan semula pandangannya kepada Lisa Damia. Lisa Damia memakai baju berwarna merah jambu berlengan pendek. Rambutnya yang lurus juga menarik perhatian mata yang memandang. Encik Adam tidak menyalahkan anaknya itu tetapi menyalahkan dirinya.

“Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini yang lalai dalam mendidik anak gadis hamba. Hamba terlalu mamanjakan dia sehingga lupa mengajar agama,” getus hati kecil Encik Adam. Lelaki itu berasa agak sukar untuk membesarkan anak-anaknya bersendirian tanpa isteri di sisi. Encik Adam segera membuka kotnya lantas menyarungkannya pada Lisa Damia.

“Lisa pakai ini,” ujarnya perlahan. Dia harus berusaha untuk mendidik anaknya perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik. Lisa Damia mendiamkan diri. Bingung akan kelakuan ayahnya itu. Dani tersenyum kecil mengerti.

“Lisa nak beli tudung? Murah harganya,” bicara Encik Adam lembut sejurus mereka melepasi Ladies Collection. Lisa Damia kehairanan dengan tingkah ayahnya hari ini. Hatinya sedikit geram. Dia memang tidak pernah memakai tudung semenjak masuk ke sekolah menengah. Lisa Damia menggeleng perlahan. Encik Adam mendiamkan diri. Dia akan berusaha melancarkan perang dingin ke arah kebaikan secara halus pada anaknya itu.

Lisa Damia mencapai berus berhampiran. Dia sedang cuba untuk menyiapkan potret arwah ibunya. Encik Adam menghampirinya lantas duduk di sofa berhampiran. Lisa Damia tekun melukis meskipun menyedari kehadiran ayahnya.

“Lisa tahu tak erti sebenar seni?” soal Encik Adam secara tiba-tiba. Lisa Damia berhenti melukis dan berfikir sejenak.

“Entah, karya seseorang yang kreatif?” Lisa Damia mengagak. Ligat juga otaknya berusaha mencari jawapan kepada persoalan ayahnya itu.

“Seni dalam Islam bermaksud segala yang halus, baik suci dan indah. Seni sangat berguna dan bermanfaat. Keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan itu,” jelas Encik Adam panjang lebar. Lisa Damia semakin kehairanan. Apa yang cuba disampaikan ayahnya itu?

“Biarlah papa berterus terang. Keindahan itu dapat dirasa dan dihayati. Allah SWT adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia. Dia sudah menganugerahkan papa cahaya yang meresap masuk ke dalam hidup papa tanpa disedari. Cahaya yang terindah sekali,” uj
ar Encik Adam lagi. Lisa Damia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Apa dia yang terindah itu?” soal Lisa Damia ingin tahu.

“Lisa. Lisalah cinta hati papa yang terindah. Lisa menghadiahkan sebuah kebahagiaan pada papa.” Lisa Damia terpana. Ternyata dirinya yang dimaksudkan dari tadi. Air mata Lisa Damia bergenang. Begitu berharga sekali dirinya untuk ayahnya. Ayahnya sudah menyedarkan dirinya tentang keindahan yang dikurniakan Illahi. Lisa Damia memeluk ayahnya erat. Encik Adam meraut senyuman. Senyuman itu juga seni ciptaan Illahi.

“Lisa, cepatlah sedikit!” Dani meninggikan nada suara. Adiknya memang lambat sekali bersiap jika mahu pergi ke mana-mana. Petang itu rancangannya mereka sekeluarga akan pergi ke rumah rakan Encik Adam di Putrajaya. Encik Adam memerhatikan jam di tangannya. Lambat sekali anak gadisnya itu bersiap. Kedengaran langkah berderap-derap menuruni tangga.

Lisa Damia muncul di muka pintu. Encik Adam dan Dani sama-sama tergamam. Lisa memakai tudung berwarna hijau yang dihadiahkan Encik Adam bulan lepas. Lisa Damia tersenyum anggun sekali. Encik Adam membalas senyumannya. Oh Tuhan, Kau benar-benar telah mengurniakan hamba anugerah-Mu yang terindah!

Jiran Depan Rumah

Karya    : Amisha
Sumber : Majalah Remaja
Tahun   : ( tak ingat la pulak )


“Hello… boleh bercakap dengan Amri?” Setelah penat mendail… akhirnya dapat.

“Minta maaf sis.. salah nombor ni. Kat sini tak ada yang bernama Amri”

Pulak dah…mungkin tadi aku yang salah dail.

“Sorry ya, and thanks” Hilang mood nak ajak Amri keluar. Petang nanti pula aku telefon lain. Apa aku nak buat sekarang? Cuti tanpa apa-apa rancangan. Memerap kat rumah saja. Kalaulah aku ada teman lelaki, tentu aku jadi seperti Ayu. Keluar dating dari pagi sampai petang. Pergi membilang batu atau pokok-pokok di sekitar KL agaknya. Atau mungkin aku menjadi seperti Kak Mar. Pergi bertandang ke rumah bakal kakak ipar. Peluang untuk beramah mesra katanya. Atau mungkin juga aku jadi seperti Kak Ros. Ada teman lelaki tetapi kalau cuti begini adalah peluang untuk buat tahi mata!

Sendirianlah aku hari ini. Tidak sanggup aku ikut jejak Ros. Membuta dari pagi tadi. Alangkah seronoknya kalau jiran depan rumah yang ku gelar McHammer ajak aku keluar. Tapi dia bukannya berani walau misainya bertaring. Berdecit-decit bagai bunyi tikus dari balkoni flat sebelah. Tangan terawang-awang buat isyarat. Manalah aku faham…lainlah kalau aku belajar bahasa isyarat.  Bukannya aku tak teringin nak layan, tetapi cara dia cuba untuk mengenali aku itu, mematikan keinginan ku. Tak ada cara lain ke? Kalau tak tahu nombor telefon kenapa tak datang jumpa atau tanya? Dia tu kan lelaki, jadi kenalah berani. Kalau dari jauh begitu, jangan harap aku nak layan. Sekarang bukan lagi zaman bersiul atau ketuk botol untuk memikat. Itu cara lama. Tak canggih langsung!

Petang, aku telefon lagi. Dialognya sama.

“Hello, boleh bercakap dengan Amri?”

“Amri? Sis yang telefon pagi tadi, kan? Sis salah nombor lagi lah….”

Hah!! Salah lagi??? Tak mungkin!!

“Inikan nombor 1234567890? I pasti I tekan nombor yang betul”

“Nombor tu memang betul. Tapi kat sini tak ada pula yang bernama Amri. Sekejap ya.. I tanya kawan
 I, kalau ada yang guna dua nama..”

Setahu aku Amri hanya ada satu nama saja. Atau mungkin aku yang tak tahu.

“Tak ada pula, sis… Tapi cuba sis telefon lagi pukul 10 malam nanti. Ada 3 orang housemate baru. Tak sempat lagi nak berkenalan. Dia orang dah keluar angkat barang. Mungkin salah seorang tu nama Amri. Ada hal penting ker?” Ramah pula si penjawab telefon ni.

“Tak ada lah penting sangat. Cuma nak ajak berbual…nak tanya tentang tempat baru. Anyway, thanks a lot. Kalau ada yang bernama Amri, beritahu dia, senior telefon. Malam nanti I’ll call back..”

Hmm…apa aku nak buat sekarang? Pakaian dah berbasuh. Rumah dah berkemas. Buku cerita semuanya dah habis ku baca. Main playstation seorang diri laaaa… Tengah seronok bermain, terdengar bunyi berdecit-decit. Bunyi tikus besar! MC Hammer dan rakan-rakan serumahnya tercegat kat balkoni. Tersengih macam kerang busuk.

“Main sorang-sorang?” laungnya. Bodoh! Sudah nampak bertanya pula.

“Sis…nama siapa? Minta phone number? Alaaaa…boleh lah sis..”

Siapa pula tu? Pasti yang ku panggil Mamat. Kalaulah aku layan, tentu Ros, Ayu dan K.Mar terkejut besar. Pasti mereka kata, ‘something wrong somewhere’

Ayu kata aku macam tunggul kayu. Tak ada hati dan perasaan. Kak Mar kata aku sombong. Bagi Kak Ros pula aku bagaikan katak di bawah tempurung. Hampir 5 bulan aku menyewa di flat PKNS ini. Hampir 5 bulan juga MC Hammer cuba untuk mengenali aku. Puas dia mengusik dari balkoni flat sebelah, berhadapan balkoni flat aku. Tidak pernah jemu menjadi penunggu setia setiap kali aku menjemur kain. Aku buat tak peduli saja. Jangan kata nak pandang. Jeling pun tidak! Bukannya aku tak berminat nak berkenalan. Bodohlah aku kalau orang yang kacak, kemas dan alim macam dia tu tak menarik perhatian aku. Aku boleh terpikat. Tapi aku tak berkenan cara dia cuba untuk menarik perhatian aku tu. Kalau betul-betul nak berkawan denganku, pandai-pandailah berusaha. Kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih!

Pukul sepuluh malam, aku menelefon lagi. “Hello..sis yang siang tadi ya? I dah tanya budak-budak baru tu, tak ada pula yang nama Amri. Sis pasti ke itu nombornya?” Suara yang siang tadi juga. Kerja angkat telefon agaknya, tiap kali aku telefon, mesti dia yang angkat.

“Betul itu nombornya. Ini blok berapa? Blok A, kan? “

“Bukan, ini blok B” Sah! Aku dah salah nombor. Amri blok A…sama dengan aku. Kalau aku tahu dia tingkat berapa, senanglah aku cari sendiri.

“Nampaknya memang I yang salah nombor. Amri tu tinggal kat Blok A. Sorry ya, dah 3 kali I ganggu”

“Tunggu dulu sis! Takkanlah dah nak letak phone? Kita berbual-buallah dulu seminit dua. Lagipun you kata you cari Amri nak ajak berbual. You tak dapat contact dia, so apa kata kalau I gantikan. Itu pun kalau you sudi..”

Apa salahnya layan? Dia tak kenal aku. Lagipun aku sendirian lagi. Kak Mar dan Ayu dah tidur. Keletihan. Ros pula keluar menonton wayang midnight show dengan teman lelakinya. Layan ajelah! Maka bermulalah satu cerita, bertanya itu, bertanya ini. Tentang diri masing-masing.

Namanya Mohd Fadzli. Berusia 25 tahun. Tiga tahun dewasa daripada aku. Anak sulung daripada 4 adik beradik. Berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pegawai bank di Public Finance, Jalan Ampang. Aku cuma beritahu namaku Aida, bukan Aida Sabrina. Bekerja sebagai Interior Designer di Damansara Height.

“Fadzli, you kat Blok B ni tingkat berapa?” Rumah bujang mana yang aku salah telefon ni.

“I tinggal kat tingkat 13. You kata tadi you call dari Kg Pandan. Tapi suara you clear. Macam dalam satu area pula.” Selamat! Bukan rumah MC Hammer. Dia kat tingkat 7, setentang dengan tingkat aku.

“Betul! I kat Kg Pandan. Kalau I kat Kg Baru juga, tak payah I call Amri. I cari sendiri. Lagipun, takkanlah I nak call dari London pula…” Fadzli ketawa kuat.

“Seronoklah sembang dengan you, Aida. Apa yang I kata, macam-macam yang you jawab. I berminat nak kenal you dengan lebih mendalam. Apa kata kita jadikan ini permulaan satu persahabatan. Itu pun kalau you sudi…”

Menarik juga. Lagipun aku dah lama tak ada kawan baru.

“Hmm..boleh juga tu..”

“So what ur phone number? Nanti boleh I call you pula.”

“Huh!! Mana boleh bagi! Nanti dia tahu aku tipu. Tiga angka telefon yang pertama adalah sama. Nanti dia tahu aku tinggal di kawasan sama.

“I’m sorry Fadzli. I can’t give u my phone number. Beginilah, kalau I rasa nak bercakap atau pun nak bertekak dengan you, I telefon lah, ok?”

“Mana boleh..kalau I yang nak bercakap dengan you pula, macam mana?” Fadzli bertanya serius.

“I janji…I’ll call you at ten every night. Bergantung kepada situasi I lah. Kalau you rasa nak bercakap dengan I, you jeritlah nama I kuat-kuat kat balkoni tu. I ni ada 6th sense tau” Aku cuba berlawak.

“Aida, seriously, I want to know you. to be ur friend. I bukannya main-main. So please Aida, give me ur phone number. Please…”

Wah!! Kaki merayu rupanya dia. Boleh tahan juga. Ada bakat menggoda. Merayu. Boleh cair aku dibuatnya nanti.

“OKlah, ada pen tak? I taknak ulang banyak kali. So you dengar dan hafal baik-baik. Ready?? 755-25-25!!” Gagang telefon ku letak. Talian Pizza Hut yang lama!

Bermula saat itu, tarikh itu, terjalinlah satu persahabatan. Hanya melalui talian telefon. Tepat sepuluh malam aku akan menelefon Fadzli. Bila malam minggu ataupun hari cuti, lamalah berbual. Terkadang hampir dua jam. Aku kaget. Ros terkejut. Sebelum ini ramai yang mendekati, ingin berkenalan. Satu pun aku tak layan. Penat Ros dan Ayu cuba jadi match-maker. Tak pernah aku menyetujui. Kata Ros, segan dan pemalu yang ada pada ku tak bertempat. Hidup aku cuma kerjaya, buku-buku novel cinta, komputer dan kertas-kertas yang tidak berperasaan seperti aku.

Ribut apa yang melanda, taufan apa yang menyerang. Senang pula aku melayan Fadzli. Alasan aku, cuma melalui talian telefon. Bukan berhadapan, sebab itu aku tak kisah. Jadi, nampaknya aku pun sama dengan  MC Hammer. Tidak berani berhadapan. Bagaikan meludah ke langit pula….

Aku tak pernah lupa telefon Fadzli. Kenapa? Aku terhibur berbual dengannnya. Rasa penat, bosan dan sedih ataupun marah, hilang setelah mendengar suaranya. Kata bualannya, hilai tawanya, dan pujuk rayunya telah menjadi sebahagian daripada diri aku. Sehari tak dengar suaranya, rasa tak lengkap hidup aku. Macam orang bercinta pula! Dia begitu mudah memahami dan menyelami hati ku. Bagaikan sudah bertahun mengenalinya. Terkadang aku tersenyum sendirian selepas berbual dengannya. Jatuh hati? Gila! Kalau aku boleh jatuh hati pada seseorang, itu hanya melalui talian telefon.

“Aida..sampai bila kita macam ni? Berbual melalui telefon. Itu pun kalau mood you OK. Kalau bad mood jangan harap you nak telefon I. Terkebil-kebil I tunggu you telefon. Jumpa taknak. Phone number you pun taknak bagi. You macam main-mainkan I, Aida.” Fadzli merungut.

“Kalau I tak serius, atau nak main-mainkan you, takkan I sanggup buang masa berjam-jam berbual-bual dengan you. Banyak lagi kerja lain I boleh buat. Cuba fikir, apa untungnya I mainkan you? Ada I dapat hadiah atau gelaran apa-apa?”

“Kalau you serius nak kawan dengan I, kenapa tak nak jumpa I? Sudah tujuh bulan kita kenal. Nombor telefon you tak nak bagi. Kenapa Aida? Apa sebenarnya yang cuba you rahsiakan??” Suara dah berubah. Marah agaknya….

“Alasan…I tak bersedia lagi nak jumpa you. Cukuplah kita hanya saling mengenali melalui telefon. Tak payahlah kita bertemu Fadzli. I sayangkan persahabatan ini” Aku cuba memujuk.

“Kenapa tak nak jumpa? Nak kata you cacat…dari cerita, you normal. Tak tahu pula kalau you tipu. Seingat I, you pernah kata jiran depan rumah you selalu kacau you, jadi you ada daya penarik tersendiri. Lawa atau tidak, I tak kisah. Yang penting hati budi you, cantik budi pekerti you, maka cantiklah rupa paras you. I pun bukannya handsome. Hitam, pendek, gemuk and bulat! ” Fadzli bersuara geram.

“I pulakkan Fadzli…kulit I macam buntut kuali. Muka macam permukaan bulan. Banyak bonggol dan kawah. Badan macam kayu balak. Kalau naik bas, senget sebelah. Tentu kita pernah terserempak di KL. Kalau iI cantik, tentu you dah tackle..”

Sebenarnya aku sendiri tercari-cari. Yang mana satu Fadzli. Setiap kali aku turun ke Kedai Jimat, semasa tunggu bas, atau semasa makan di Warung Faridah atau Tom Yam Corner..tertanya-tanya itukah Fadzli? Mungkinkah aku pernah bertembung dengan dia?

“Aida, kali ini I betul-betul serius. Kalau you benar-benarkan sayang persahabatan ini, kita mesti berjumpa. Kalau tidak, cukup setakat ini persahabatan kita. I dah tak sanggup terseksa macam ni. Bagaikan berkawan dengan bayang-bayang. Bezanya, bayang-bayang kita nampak cuma tak ada suara. Langkah seterusnya I serahkan pada you. I really like you, Aida. You are my special friend. Bye Aida! I gonna miss you. Ok Aida, goodbye.” Di sinikah akhirnya sebuah persahabatan? Tidak mungkin!!!

“Alahai Aida..dah dua minggu hang monyok. Tak lalu dah aku nak tengok. Sampai bila? Aku dah kata, bahaya kawan dengan ‘radio’, dapat didengar suaranya, tapi yang wujud cuma kotak yang kaku dan keras. Macam telefon la..” Sudah beberapa kali Ayu menegur aku.

“Dulu…kalau hang layan si MC Hammer tu, ada juga faedahnya. La ni rasanya dia dah awek. Aku nampak dia asyik bergayut. Sama masa dia dengan hang, Aida. Aku tak faham Aida. Kenapa hang taknak jumpa Fadzli? Takut dia makan?” Ayu berleter panjang.

“Ros pun tak faham, kenapa Aida tak nak jumpa? Malu? Bukannya nak jumpa dia tanpa pakaian. Kau ni malu tak bertempatlah Aida. ” Ros menyampuk, marah. Kalau berterusan begini, aku boleh jadi pekak dengan leteran.

Haa..Kak Mar pula datang. Apa pula yang dia nak leterkan? “Rasa diri tak lawa? Kalau tak lawa kenapa pula si mamat-mamat depan rumah tu selalu kacau? Tak ada kurangnya pada kau, Aida. Cuma Aida malu tak bertempat, rendah diri tak menentu. Atau risau Fadzli tak handsome? Takkanlah rupa paras menjadi ukuran, Aida? Cuba fikirkan apa yang penting dalam sebuah persahabatan?”

Apa yang penting atau apa yang aku mahukan dalam sebuah persahabatan? Semuanya ada pada Fadzli. Dialah teman terbaik dari kaum Adam yang pernah ku kenali. Jadi, sanggupkah aku kehilangan dia? Hilang seseorang yang telah menjadi sebahagian daripada diri aku. Jadi gila aku nanti! Aku bukannya cantik, bukannya menarik. Mungkin selepas bertemu nanti, Fadzli berubah. Katanya dia tak pandang paras rupa, itu katanya yang mungkin umpan untuk bertemu. Tapi aku akan lebih terkilan andainya aku kehilangannya begitu sahaja.

Maka aku nekad menghubungi Fadzli semula. “You made me crazy, Aida. I miss you! ” sayu suara Fadzli.

“I’m sorry, Fadzli. Bukannya nak menyeksa you, tapi I perlukan masa untuk berfikir. Tapi..sekarang you dah jadi gila. Jadi, tak payah la jumpa” Sengaja aku menyakat.

“Opss!! I dah ok bila dengar suara you. So, bila kita boleh jumpa? This weekend? ” Kalut dia bertanya.

“No, not this weekend. Next week, ok?”

“OK, asalkan you tepati janji..” Dan suara itu terus galak bercerita hari-hari yang dijalani tanpa suara aku.

“Dah tersengih sorang-sorang. Apa la nak jadi hang ni, Aida? Eh..tadi aku jumpa MC Hammer kat bawah. Handsomenya dia. Bila dia senyum, macam nak luruh jantung hati aku. Nasib baik tak jatuh. Kalau aku single lagi, tak payah tunggu..aku tackle dia dulu” Ayu bercerita penuh semangat.

“Lagi-lagi si MC Hammer tu! Kalau dia betul-betul nak kenal, tentu dia datang jumpa, ini tidak, cuma dari jauh saja. Itu tandanya dia tak bersungguh. Sudahlah tu…dah tak ada jodoh Aida dengannya, nak buat camno? Hmm..Aida nak jumpa Fadzli nanti, Aida dah tak kisah apa yang akan terjadi selepas itu. Semuanya takdir Ilahi”

Berdebar-debar aku menunggu saat itu. Amat menakutkan aku. Apakah kesudahannya? Pertemuan ini bagaikan memperjudikan satu persahabatan.

“Hello Fadzli…” Sudah tujuh bulan lebih aku memegang juara panggilan terbanyak dan terlama!

“Hello dear..tak sabar nak jumpa you. Pukul 3.00 petang nanti.. sebelah KFC, KLCC. You kata nak pakai blaus putih dan slack hitam. So I pakai blue jeans dan T-Shirt Freego hitam. Hitam putih ya..our favourite colours. You jangan berubah fikiran pula.” Macam perjanjian si Kassim Selamat dan Sabariah pula.

“Hai! Dah sepuluh kali you ingatkan I. Cuma I risau, manalah tau you mainkan I. Samada you tak datang atau you suruh teman you gantikan tempat you, macam si Kassim Selamat tu..”

“Kenapa susah sangat ke nak percayakan I? Tak apalah..selepas jumpa you nanti, I akan pastikan you menaruh kepercayaan terhadap I!” Risau aku. Takut jatuh ke perangkap buaya KL. Tuhan, jauhilah aku dari malapetaka ini.

“OKlah Fadzli, I nak pergi mandi. Nanti lambat pula. Bye!”

Ayu dan Rose tersengih memandang aku. Dari semalam aku jadi bahan usikan.

“Aida…nak aku temankan? Hang ni pemalu. Gelabah pula tu. Kalau aku ada sekurang-kurangnya dapat selamatkan keadaan”

“Sudahlah Ayu. Nak temankan Aida konon. Hang tu dulu lagi teruk daripada Aida. Keluar masuk tandas 2-3 kali , terketar-ketar nak jumpa si….” Tak sudah Ros menghabiskan ayat, Ayu sudah mengejar. Riuh-rendah. Terpandang ke luar, tercegat MC Hammer di balkoni, tersenyum. Aku tersenyum kembali…tak rugi apa-apa.

3:15 petang aku tiba di tempat yang dijanjikan. Tercari-cari si T-Shirt hitam berseluar blue jeans dan memegang sejambak bunga. Katanya, mungkin ada yang berpakaian serupanya, tetapi tak mungkin ada yang bawa sejambak bunga ros. Terpandang sesusuk tubuh. Kenal sangat aku pada rambut itu. MC Hammer!! Pakai T-Shirt hitam pula tu! Buat apa dia kat sini? Tunggu girlfriend agaknya. Sebelum dia nampak aku, lebih baik aku beredar. Kacau daun betullah dia ni! Tidak sempat aku bergerak, dia menoleh ke arah aku. Terkejut! Kaki terpaku di situ. Di tangannya ada sejambak bunga ros. Tidak mungkin! Hilang kata bual yang aku hafal malam tadi.

“Aida? Tidak mungkin you Aida. Aida tinggal di Kg. Pandan” Tak tahu pula sama ada dia bercakap dengan aku atau pun kata-kata itu untuk dirinya sendiri.

“You kata tinggal di Tingkat 13. You tipu I ! ” Nasib baik suara aku tidak hilang.

“I tidak salah oranglah ya? So, you juga tipu I. Kata tinggal di Kg Pandan, rupanya tinggal di flat depan.” Fadzli tersenyum. Akhirnya berderai ketawa. Aku turut ketawa. Tidak hirau pada mata yang memandang dan telinga yang mendengar penuh minat. Harap-harap tidak ada wartawan di antara mereka. Nanti jadi bahan berita pula.

“Kalaulah kita berterus-terang, tak payahlah tujuh bulan tiga minggu untuk jumpa you. Tak adalah orang yang dapat gelaran juara bergayut kat telefon. Dan tak ada hati yang terseksa…”

“Kalau begitu, tak adalah thrill. Kita dapat kenal ni gara-gara I salah nombor. Hmm..itulah you, nak kenal I tapi cuma berani dari jauh. Cuba kalau you datang, approach berdepan, dah lama kita berkawan.” Aku melepaskan geram. Penat aku mencari dan meneka. Rupanya Fadzli adalah jiran depan rumah ku!

“You la…jual mahal sangat. I ingatkan you dah ada boyfriend, sebab tak pernah ada respon. Kita mulakan sekali lagi ya… I, Mohd Fadzli memberi Aida sejambak bunga ini sebagai tanda bermulanya satu ikatan persahabatan…” Aku menyambut pemberiannya. Fadzli menggenggam tangan ku. Erat…hangat. Matanya merenung tepat wajahku. Betul kata Ayu, bagai nak gugur jantung hati ku!

“Aida, mungkin terlalu awal bagi you. Tapi I sudah dapat rasakan sebelum I mengenali you lagi, I know and I’m sure, I’m falling in love with you. No need to say anything about it, not now. I tahu you perlukan masa. Tapi I pasti akan perasaan I terhadap you.”

Dan petang itu, aku habiskan masa bersama dia. Jiran depan rumah dan teman dalam telefon. Aku sukakan MC Hammer dari kejauhan. Aku terpikat pada Fadzli melalui telefon. Kini, aku jatuh cinta pada MC Hammer ataupun Fadzli dalam pertemuan ini. Aku pasti perasaan itu. Alangkah indahnya dunia ini!

Pulang ke rumah, aku diburu pelbagai soalan daripada Ayu, Ros dan Kak Mar. Pandang ke rumah depan, kelihatan situasi yang serupa. Pasti soalan yang sama, “How’s you date?”

“Begini aje la…just wait and see. Aida ada dinner dengannya nanti. Ayu, kalau rajin tunggu kat balkoni, dia nak panggil Aida dari balkoni rumahnya nanti. Fadzli dah boring bercakap kat telefon. So, dia nak laungkan nama Aida nanti”

“Nak laung dari tingkat 13? Ini sudah hebat ni” Ayu menggeleng-geleng kepala.
Pukul 8.30 malam, aku sudah siap berpakaian. Cuma menunggu Fadzli memanggil aku. Tersipu-sipu aku menahan ketawa, gembira dan lucu bercampur-baur.

“Aida…!!! ” Fadzli melaung dari balkoni.

“Hai! Macam mana dia tahu nama hang, Aida? Berani pula dia laungkan nama hang” Ayu kehairanan. Teman serumah Fadzli turut menjengah keluar.

“Ok Fadzli, I dah siap. Jom!! ” Ayu dan Ros saling-pandang memandang. Terkejutlah tu! Teman-teman Fadzli bersuara riuh rendah.

“Jadi, selama ini, Aida tu budak depan rumah?” temannya bertanya.

“Yalah..itulah Aida Sabrina, buah hati aku. Saja taknak cakap dekat kau orang, nanti kacau daun pula.”

Apa yang terjadi, pasti terjadi juga. Sesungguhnya, ketetapan dan perlaksanaan adalah dariNya. Pasti itulah yang terbaik untuk kita. Hidup, jodoh dan maut ditentukan Ilahi. Jadi, kalau sudah jodoh, ia tidak ke mana bukan? Untuk itu, aku bersyukur ke hadrat Ilahi. Amin…..
Tamat…….